Masa berlalu begitu pantas. Sedar
ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa.
Dalam tempoh tersebut, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk
mencapai tahap takwa dalam erti kata yang sebenar atau sebaliknya? Jika
tempoh tersebut belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa,
masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah itu. Justeru, saki
baki hari-hari terakhir Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan dengan
sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang
berganda dalam meniti pemergiannya.
Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan
berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama
dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan
kita? Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati
sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat
Islam pada hari ini.
Sesungguhnya pedoman yang telah
ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa
tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita
lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai
dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian
melabuhkan tirainya.
Sedangkan kita seharusnya
menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih
pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis
lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar
(yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada
sepuluh malam
terakhir Ramadhan.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: "Sesungguhnya
kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar?
Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu,
turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah,
jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat
bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik
daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa
keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.
Malam Lailatulqadar merupakan
malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada
umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh yang
demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka
mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan
memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali
ganda daripada
Allah SWT di penghujung Ramadhan.
Mudah-mudahan,
dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah
diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang
tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi
kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum
terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu
mencapai takwa dalam erti kata sebenar.
"Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari
terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda
beriktikaf selama 20 hari"
No comments:
Post a Comment