Tarikh: 24 Julai 2014
Masa: 8.30 pagi
Tempat : Kantin SKKFST
Aktiviti:
1.Sesi penerangan bahaya Nyamuk Aedes dan Demam Denggi oleh En.Mohd Amri bin Hussain ( PK HEM )
2. Cari dan Hapus
APA ITU PENYAKIT DENGGI?
Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang
boleh membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati
penyakit ini.
Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes.
Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya.
Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar.
JENIS-JENIS PENYAKIT DENGGI
Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu:
a. Demam denggi klasikal.
Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan
sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang
menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah
tulang' atau 'breakbone fever'.
b. Demam denggi berdarah.
Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur
2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi
adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang
lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan
bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis
berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering
menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga
dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.
AGEN PENYEBAB PENYAKIT DENGGI
Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus
denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan
virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis 'serotype'
virus yang telah dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua
jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang
berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan
badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya
melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja.
Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk
Aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari
pada tahap awal penyakit.
PEMBAWA AGEN PENYAKIT DENGGI
Nyamuk Aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk
merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang
lain. Daripada 1 gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak 2-4 mg darah
iaitu 1.5 kali berat badannya.Nyamuk Aedes ini boleh dikenali dengan
tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat 2 jenis nyamuk Aedes yang
membawa virus denggi iaitu:
1. Aedes aegypti
Ciri-ciri: Tanda putih-perak bentuk kecapi dikepala.
2. Aedes albopictus
Ciri-ciri: garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan.
Nyamuk Aedes aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di
tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di
dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.
Nyamuk Albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun
dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan
dan menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah
untuk menggigit manusia. Disamping bekas buatan nyamuk ini juga boleh
berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada
pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas
dan lain-lain tempat yang boleh air bertakung.
Jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.
CARA JANGKITAN
Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus
denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia
memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan
terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan
terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes
betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus
denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah
manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang
mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut
dan menyebarkan kepada orang lain.
Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina
sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan
nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan
virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersdebut akan masuk ke dalam
peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini
dipanggil 'Penularan Mekanikal'.
Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku
melalui penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan
agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik
hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya.
Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini
membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses
penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi
juga sebagai perumah kepada agen penyakit.