...SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI SK KAMPUNG FIKRI SUNGAI TONG (SKK) 21500 SETIU TERENGGANU...~~~BERSATU..SETIA..BERJASA~~~
“Dalam hidup ini adakalanya kita perlu menangis, agar kita sedar hidup ini bukan hanya untuk bergembira & berketawa, adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menghargai nilai setitis air mata, kalau kita tidak merasa kesulitan hari ini, kita tidak akan rasai kemanisan kemudian hari, tidak salah untuk sesekali kita perlu DERITA untuk mengenal erti BAHAGIA...sesekali kita perlu KECEWA untuk kita kenal erti KEJAYAAN...sesekali kita perlu MENANGIS untuk kita syukuri NIKMAT yang diberi...sesekali kita perlu TERHIRIS untuk kita kenal DIRI SENDIRI...."

Sunday 5 July 2015

Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir Ramadhan




Masa berlalu begitu pantas. Sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh tersebut, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata yang sebenar atau sebaliknya? Jika tempoh tersebut belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah itu. Justeru, saki baki hari-hari terakhir Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti pemergiannya.        
Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan  dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita? Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.
Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya.
Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada
sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.
Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada 
Allah SWT di penghujung Ramadhan.
Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar.
"Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari"

No comments:

Post a Comment